Penekanan Terhadap Al-Quran Kunci Pendidikan Anak-anak

(Dipetik dari laman web ISMA pusat..di   ismaweb.net)

Pendidikan anak-anak merupakan aspek yang kritikal dalam pembinaan keluarga. Apatah lagi apabila menyedari hakikat bahawa anak-anaklah yang akan menyambung dakwah yang dilaksanakan ibu bapanya. Sering kita dengar secara teori akan kepentingan memastikan anak-anak terdidik, terjaga dan sebagainya, dan ramai yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang aspek praktikal yang dilakukan bagi mendidik anak-anak. Menyedari kepentingan pengalaman ini dikongsikan, dua orang Wartawan ISMA iaitu Norzafry Norhalim dan Muadz Mohammed Zain mengambil peluang untuk menemuramah Ustaz Mohd Asri Hashim, Pengarah Eksekutif Pustaka Salam Sdn. Bhd dan isteri beliau, Ustazah Junainah di rumah mereka di Gombak.

gf-surah-al-alaq

W: Ustaz, boleh ceritakan sedikit apakah kepentingan pendidikan al-Quran kepada anak-anak?

A: Pendidikan anak-anak ini cukup penting dalam proses pewarisan dakwah kepada generasi seterusnya. Dakwah ini telah diwarisi sejak zaman Adam a.s hinggalah akhirat. Inipati dakwah Adam a.s telah diwarisi hingga Rasulullah s.a.w dan berterusan hinggalah hari kiamat. Oleh itu, sebagai ibu bapa, kita semestinya memastikan dakwah ini diwariskan kepada anak-anak. Kita juga perlu memastikan kefahaman islam ini diwarisi bertepatan dengan al-Quran dan Sunnah. Sebab itulah di peringkat awal lagi penekanan terhadap al-Quran cukup penting dalam pendidikan anak-anak.

W: Bagaimana pula peranan ISMA dalam memastikan proses yang ustaz katakan tadi terlaksana?

A: Dalam pentarbiyyahan ISMA, al-Quran merupakan silibus asasi yang perlu dilalui oleh setiap individu yang bersama dengan ISMA. Begitu juga kita dengan anak-anak, pendidikan al-Quran, khususnya isu hafazan dan pemahaman terhadap kandungan al-Quran menjadi satu perkara yang kritikal. Jika kita lihat kembali tokoh-tokoh Islam pada zaman silam, baik dalam bidang agama mahupun sains, mereka ini rata-rata telah menghafaz al-Quran sejak kecil lagi seawal umur 10 tahun. Al-Quran telah berada dalam dada mereka, dan tidak hairanlah ada antara tokoh tersebut layak untuk memberi fatwa seawal umur 15 tahun. Dan daripada sinilah juga mereka membongkar rahsia al-Quran sehingga mampu menjadi para saintis terkemuka dan doktor yang pakar pada zaman mereka. Maka saya melihat bahawa inilah peranan ISMA untuk memastikan bahawa pendidikan al-Quran ini dimulakan seawal mungkin, malah sejak anak berada dalam kandungan lagi.

Ustaz Asri yakin bahawa perbelanjaan yang dihabiskan untuk pendidikan anak-anak, khususnya pendidikan Al-Quran, adalah pelaburan paling bermakna.

W: Boleh ustaz ceritakan sedikit proses pendidikan al-Quran sejak dari kandungan?

A: Para ibu yang mengandung perlulah sentiasa membaca al-Quran supaya bacaan tersebut meresap masuk ke dalam kandungan. Setelah anak tersebut dilahirkan, anak tersebut perlu diperdengarkan dengan alunan-alunan bacaan al-Quran. Seterusnya apabila anak itu telah mampu bercakap dan melihat huruf-huruf, maka kita latih mereka dengan cara membaca al-Quran dengan betul dan mula membuat hafazan. Kalau kita lihat sekarang pun dah ada beberapa sekolah malah tadika yang melaksanakan konsep hafazan al-Quran. Di dalam ISMA pula melalui Kelab Anak-anak NAZIM (Nadi Asybal wa Zahrawat), kita sedang mengkaji modul yang sesuai untuk melaksanakan program hafazan al-Quran.

W: Apa kesan hafazan al-Quran ini terhadap aspek-aspek lain dalam kehidupan?

A: Sebenarnya apabila seseorang itu mampu beriltizam dengan disiplin menghafaz al-Quran, dia akan mampu untuk mencapai kejayaan yang sama dalam bidang akademik. Ini kerana proses menghafaz al-Quran menuntut disiplin diri dan komitmen yang cukup tinggi. Maka apabila seseorang itu mempunyai asas disiplin yang tinggi ini, pergilah ke mana-mana sahaja pastinya dia akan berjaya.

W: Kami dimaklumkan yang ustaz menghantar anak-anak ke sekolah swasta untuk tahfiz al-Quran. Sebagai seorang usahawan yang memiliki perniagaan sendiri, mengapakah ustaz memilih untuk melabur kos yang tinggi untuk tujuan ini?

A: Sebagai seorang Muslim samada usahawan ataupun bukan, kita harus sedar bahawa setiap hasil yang kita dapat ini hendaklah dihantar ke akhirat, bukan untuk kehidupan di dunia. Bagi saya sendiri, saya laburkan hasil yang didapati kepada anak-anak. Hampir semua anak saya dihantar ke sekolah tahfiz al-Quran, dan alhamdulillah mereka berkembang dengan baik. Ada antara mereka yang telah hafal sehingga 17 juzuk, 12 juzuk, dan 8 juzuk. Saya merasakan bahawa pelaburan demi memastikan anak-anak menghafal al-Quran sejak kecil ini merupakan pelaburan yang cukup bermakna kerana asas dakwah yang kita pikul ini adalah al-Quran itu sendiri. Maka seandainya kita laburkan kewangan kita demi matlamat ini, saya yakin bahawa usaha ini akan memberikan pulangan yang cukup besar di akhirat insyaAllah.

W: Ustazah, sebagai seorang suri rumah, apa disiplin-disiplin yang ustazah laksanakan di rumah?

J: Setelah balik dari kelas dalam jam 6 petang, biasanya saya benarkan mereka berehat seketika, kalau mereka nak main di luar dan sebagainya. Apabila hampir tiba waktu maghrib, saya akan minta mereka hemat diri dan pastikan mereka dapat solat Maghrib berjemaah. Selepas solat kami akan berzikir dan berdoa bersama. Seterusnya kami bersiap untuk makan malam sekeluarga. Jadi aktiviti untuk menyemak semula bacaan al-Quran akan bermula setelah makan malam di mana saya akan menyemak semula semua ayat-ayat yang diamanahkan untuk dihafal di sekolah, termasuklah hafalan-hafalan yang lama dahulu. Begitulah rutin untuk hari persekolahan, biasanya sehingga jam 10 malam mereka akan masuk tidur. Untuk hujung minggu pula, anak-anak saya akan meluangkan sepenuh masa di rumah. Jadi masa yang ada ini saya gunakan untuk sama-sama membaca ma’thurat selepas solat maghrib dan kemudian sesi usrah keluarga. Ada jugalah ruang yang saya beri sedikit untuk mereka menonton TV, kartun sikit-sikit kerana memang alam mereka begitu, cuma saya letakkan syarat, kena habiskan kerja-kerja rumah seperti mengemas, masak dan membasuh, barulah boleh menonton TV.

W: Apa yang ustazah bincangkan dalam usrah keluarga?

J: Kami gunakan Modul Usrah Keluarga ISMA, selain itu saya juga sesuaikan sedikit gaya penyampaian agar kena dengan konteks anak-anak. Contohnya baru-baru ini awal Muharram, jadi saya minta mereka tuliskan azam tahun baru ini dan simpan azam tersebut. Kadang-kadang seandainya mereka ada masalah-masalah yang spesifik saya sentuh juga dalam usrah untuk menegur mereka.

W: Ustaz dan ustazah merupakan orang yang aktif dalam ISMA, maka bagaimana ustazah memastikan anak-anak tetap terjaga dalam kesibukan tersebut?

J: Kalau saya tidak ada di rumah, saya akan pesan supaya mereka tetap melaksanakan rutin mereka seperti biasa. Biasalah budak-budak, kadang-kadang tak terbuat juga. Cuma apa yang saya lakukan ialah sering menelefon dan mengingatkan mereka serta pastikan mereka menghafal dan melaksanakan rutin mereka. Juga saya melatih salah seorang anak saya untuk dia sendiri pula memastikan adik-adik dia melaksanakan rutin-rutin tersebut.

Semoga segala usaha Ustaz Asri dan Ustazah Junainah dalam mendidik anak-anak diberkati dan d beri sebaik-baik ganjaran oleh Allah s.w.t. Kita sama-sama doakan agar semua pendakwah dapat mengambil contoh yang baik dari perkongsian ini, dan cuba untuk melaksanakan usaha seumpama ini jika tidak lebih baik.

W – Wartawan ISMA
A – Ustaz Mohd Asri
J – Ustazah Junainah

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: