Pada 29 hb Mac 2009, bertempat di Dewan Seminar Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1, Kuantan Pahang, telah berlangsung satu seminar mengenai Halal dan Haram dalam kehidupan seharian kita. Seminar yang mengupas persoalan Halal dan Haram dari sudut syariat dan kesihatan itu telah dianjurkan oleh ISMA Kuantan (Pahang) dengan kerja sama Masjid Negeri dan dihadiri oleh lebih dari 100 orang terdiri dari pelajar sekolah dan penduduk sekitar.
Penceramah pertama, Uz Rushdan Abd Halim selaku YDP ISMA Kuantan, yang menggantikan tempat uz Norhamizi yang tidak dapat hadir kerana sakit dan dimasukkan ke wad Hospital Pekan, telah berjaya menarik minat penonton apabila beliau mengupas isu berkaitan halal haram dalam pemakanan, pemakaian, nikah dan jual beli dengan taqwa. Menurut beliau, dalam Islam, bukan hanya menekankan halal haram dalam sudut pemakanan sahaja, namun banyak lagi kaitan dengan kehidupan seharian kita yang sepatutnya berpaksikan hukum halal dan haram, bagi menjamin tingkat ketaqwaan kita kepada Allah swt. Taqwa yang membawa erti ‘berhati-hati’ dalam setiap tindakan, amat dekat dengan makna menjaga halal haram dalam kehidupan seharian. Memastikan setiap tindakan kita dalam ruang lingkup halal, dan menjaga serta berhati-hati agar tidak jatuh kepada yang haram adalah sesuatu yang amat dititik beratkan dalam Islam, bukan sahaja dari sudut pemakanan, tetapi dalam semua aspek kehidupan.
Beliau menjelaskan asas menghayati halal dan haram dalam Islam terbahagi kepada 3 :
1. Ubudiyah kepada Allah swt.
2. Natijahnya dalam menjadikan kita peribadi yang selari, tidak kotradik dengan suruhan Allah swt.
3. Keperibadian wara’ dalam menjauhi syubhat.
Uz Rushdan mengajak semua hadirin untuk merenung hadis keenam dari ‘empat puluh hadis Imam Nawawi r.h.’ yang menyebut kaitan halal dan haram dengan menjauhi perkara2 syubhat, hasil dari ketaqwaan kita kepada Allah swt, yang mana HATI lah yang merupakan penentu dan penggerak kepada ketaqwaan tersebut, dan hatilah yang menjadi ‘raja’ pada diri kita. Dan kesan dari halal haram ini adalah pada hati = raja kita, yang seterusnya akan membawa kita kepada mematuhi atau melanggar perintah Allah swt. Maka sebagai hamba Allah yang takutkan azabNya di akhirat kelak, harus bersungguh2 mentaati suruhan dan larangan sekitar isu halal dan haram dalam kehidupan.
Manakala penceramah kedua seminar, adalah seorang doktor muda dari Hospital Besar Kuala Trengganu, yang juga merupakan anak sulong kepada setiausaha ISMA Kuantan, Hj Amiruddin bin Ahmad, Dr Salman bin Hj Amiruddin telah menjelaskan aspek halal haram ini dari perspektif kesihatan. Allah swt yang menciptakan kita manusia, sesungguhnya amat mengetahui segala2nya yang terbaik untuk kita maka Dia telah menetapkan sesuatu yang memang jelas dan nyata faedahnya pada sekelian manusia.
Arak, walau dalam kuantiti yang sedikit sekalipun, tetap akan meninggalkan kesan yang negatif kepada sipeminumnya, maka Allah swt mengharamkannya kepada manusia. Begitu juga dengan bahaya daging babi jika dibandingkan dengan daging2 lain, mempunyai kesan negatif pada tubuh badan kita. Kesan dadah dan rokok juga diketengahkan dengan agak detail bagi menjelaskan kepada hadirin akan sebab2 pengharamannya oleh Allah swt. Walau bagaimana pun, diakhir pembentangan beliau, beliau tetap kembali kepada isu ketaqwaan kepada Allah swt yang menetapkan hukum tersebut, bahwa, tahu atau tidak tahunya kita pada bahaya sesuatu pemakanan yang diharamkan kepada manusia, kita tetap wajib mematuhi suruhan dan larangan Allah, kerana kita hanyalah hambaNya yang wajib mematuhi perintah Tuannya, iaitu Allah swt.
Ketaqwaan itulah yang sebenarnya menjadi titik tolak manusia untuk patuh atau tidak patuh dengan segala perintah dan larangan Allah swt. Dan ketaqwaan itu ditentukan oleh keimanan dalam hati dan diri setiap manusia.
wallahu’alam.